“Live and let Live” merupakan slogan Kempen AIDS Sedunia bagi tahun 2002-2003 memberi fokus kepada usaha-usaha untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi. Penghapusan Stigma dan diskriminasi merupakan masalah yang paling utama dalam kempen pencegahan HIV/AIDS. Kebimbangan disisihkan dan disikriminasikan seringkali menghalang pesakit HIV/AIDS daripada mendapatkan perkhidmatan rawatan. Mereka seringkali bimbang jika status HIV mereka didedahkan kepada umum.
Individu yang dijangkiti HIV atau disyaki mengidap HIV mungkin disishkan dari mendapat perkhidmatan rawatan kesihatan, diketepikan untuk mendapat tempat berteduh dan pekerjaan serta disisih dari kawan dan sahabat handai. Mereka juga seringkali bimbang jika status mereka diketahui, mereka akan tidak mendapat kemudahan perlindungan insuran atau mungkin dilarang memasuki negara asing. Dalam kes tertentu, mereka pernah dihalau oleh keluarga sendiri dari rumah mereka sendiri, diceraikan oleh pasangan mereka dan ada kes dimana mereka ini didera dari segi fizikal dan kemungkinan dibunuh.
Stigma dan diskriminasi yang berkaitan dengan HIV/AIDS ini mungkin juga akan berlanjutan hingga kegenerasi yang seterusnya yang kadangkala mengakibatkan gangguan emosi kepada anak-anak yang mungkin kehilangan ibu bapa mereka akibat HIV/AIDS.
Dengan penekanan kepada masalah stigma dan diskriminasi, adalah diharapkan kempen ini akan menggalakkan masyarakat supaya berfikiran terbuka dan lebih bersedia untuk memberikan bantuan kepada mereka yang mengidap HIV/AIDS. Dengan cara ini akan dapat mempertingkatkan kekesanan kempen pencegahan dan rawatan HIV/AIDS. Usaha-usaha memerangi HIV/AIDS hanya akan berjaya jika masalah stigma dan diskriminasi ini dapat dikurangkan. |