Assalamualaikum,
HIV hadir tanpa diundang, mencabar kehidupan dan harga diri manusia seluruh dunia. Bidang perubatan tergugat dan cemas, namun kesannya bukan di situ sahaja. Kehidupan sosial, ekonomi dan budaya juga tercalar justru pembangunan, kesepakatan dan kestabilan sosial serta politik turut terancam.
Syukur, kita cepat belajar dari kemelut ini. Kita mengambil iktibar dari musibah yang menimpa Afrika, benua paling teruk dilanda HIV. Kita juga cepat sedar remaja merupakan aset paling berharga negara. Kita juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada kita untuk menyahut cabaran membanteras HIV melalui PROSTAR.
Apalah guna hidup di dunia jika tidak memberi makna kepada kehidupan manusia itu sendiri. Sedangkan haiwan dan tumbuhan melata, berjasa menjadi makanan kepada umat manusia. Bolehkah kita berpuas hati dengan berpeluk tubuh membiarkan HIV berleluasa?
Saya amat bangga kerana semenjak ditubuhkan pada 30 Jun 1997, PROSTAR telah menempah kejayaan demi kejayaan. Sehingga Disember 2004, PROSTAR telah mendaftarkan 121 cawangan Kelab Prostar di seluruh negara. Pada masa yang sama rangkaian 1143 buah kelab prostar sekolah telah diwujudkan bagi memacu usaha menangani AIDS di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Sehingga kini, PROSTAR telah melatih lebih 50,000 remaja memahami HIV/AIDS dan isu yang berkaitan dengan AIDS, kemahiran berkomunikasi serta merancang aktiviti bagi menangani HIV. Melalui usaha warga PROSTAR, lebih 700,000 remaja di seluruh negara didedahkan kepada maklumat mengenai AIDS dan isu berkaitan dengan AIDS.
Saya berharap, lebih ramai lagi golongan remaja menyertai PROSTAR dan sama-sama kita berganding bahu sebagai warga yang prihatin menyumbang bakti membanteras AIDS serta menjadikan bangsa Malaysia contoh di mata dunia.
Sekian, Wassalam
Dr. Abdul Rasid bin Kasri
Presiden
Kelab PROSTAR Malaysia
2004-2006 |