Kajian tingkahlaku lepak di kalangan remaja yang telah dilaksanakan pada bulan Februari 1994 mendapati 18% daripada 6,110 responden remaja kedua-dua jantina di seluruh Malaysia, dari bandar dan luar bandar telah mempunyai pengalaman melakukan seks bebas (75. 1 % berusia antara 16-21 tahun). Masalah penyalahgunaan dadah yang kebanyakannya melibatkan golongan remaja telah sekian lama berlaku di Malaysia. Jumlah mereka yang terlibat dengan dadah masih tetap bertambah dari tahun ke tahun. Contohnya pada tahun 1990, terdapat seramai 7,372 kes (purata 614 sebulan) penagih baru tetapi meningkat kepada 17,342 (purata 1,445 sebulan) kes penagih baru pada tahun 1997.
Berlandaskan permasalahan di atas, adalah dirasakan perlu remaja masakini dididik, dibimbing dan didorong ke arah remaja bermaklumat, berketerampilan dari segi ketahanan diri dan mental bagi menghadapi tekanan persekitaran serta prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi masalah sosial yang melanda remaja serta berusaha menanam sikap positif di kalangan remaja supaya menghindari tingkahlaku berisiko bagi megwujudkan remaja yang mengamalkan gaya hidup sihat tanpa AIDS. Untuk itu Kementerian Kesihatan merangka satu program khusus bagi para remaja yang diberi nama PROSTAR iaitu singkatan daripada Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja yang berkonsepkan Dari remaja, Melalui remaja dan Untuk remaja. Program ini dengan rasminya telah dilancarkan pada 24 November 1996.
( Action By Youth, Through Youth and For Youth ). |